Sekitar 2 tahun lalu, masalah kekurangan tenaga pengajar perubatan di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) begitu ketara sekali. Ramai para pensyarah perubatan yang telah meletakkan jawatan untuk menyertai sektor swasta.
Doktor dan pakar dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula kurang berminat untuk menjadi tenaga pengajar di IPTA memandangkan skim gaji yang kurang menarik serta beban kerja yang jauh lebih tinggi di IPTA. Jika mereka kekal di KKM, mereka hanya perlu memberikan khidmat rawatan kepada para pesakit.
Manakala jika di IPTA, pensyarah perubatan perlu;
- memberikan khidmat rawatan kepada para pesakit.
- mengajar pelajar prasiswazah dan pascasiswazah.
- melakukan penyelidikan dalam bidang kepakaran mereka.
- menerbitkan artikel dalam jernal-jernal perubatan yang berkaitan dengan kepakaran mereka.
Maka sekitar 2 tahun yang lalu, para dekan dari semua IPTA telah bersetuju dan menghantar memorandum kepada pihak kerajaan untuk mendapat elaun insentif khas bagi para pensyarah perubatan. Diharap pemberian elaun sedemikian dapat menggalakkan pensyarah perubatan yang sedia ada untuk kekal dalam perkhidmatan, dan menggalakkan doktor dan pakar dari KKM untuk menyertai IPTA.
Pada bulan Mei 2009, pihak kedekanan telah sekali lagi menyerahkan memorandum ini kepada Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak.
Akhirnya segala usaha ini telah membuahkan hasil. Pada 15 Julai 2010, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengeluarkan pekeliling “BAYARAN INSENTIF AKADEMIK PENSYARAH PERUBATAN DI INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI AWAM”, berkuatkuasa dari 1 Jun 2010.
Insentif yang diberikan adalah seperti berikut;
Gred |
Kadar Sebulan |
|
Dengan |
Tanpa |
|
VK7 dan ke atas |
RM1,200.00 |
RM1,000.00 |
DU 53/54 |
RM1,000.00 |
RM800.00 |
DU 51/52 |
RM800.00 |
RM600.00 |
DU 45 |
RM600.00 |
RM400.00 |
Sukacita dimaklumkan bahawa pihak IPTA telah mula mengimplementasikan insentif tersebut termasuklah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).